Sunday, November 27, 2016

Tanah Runtuh di Taman Idaman Serendah, Kuala Kubu Bharu, Selangor

Berikutan komen saya dalam Utusan Malaysia, yang diterbitkan pada Ahad 27 November 2016, berkaitan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Idaman Serendah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Hasil cerapan dengan menggunakan Google Earth, Google Street View dan beberapa gambar lapangan dapat memberikan satu hipotesis awal yang menunjukkan kejadian tanah runtuh tersebut mungkin berlaku disebabkan oleh beberapa faktor:-

(1) Bahan geologi pembentuk cerun yang lemah

Berdasarkan kepada gambar satelite Google Earth, dapat diperhatikan beberapa kolam di kaki cerun yang menunjukkan taman tersebut dibina di kawasan/berdekatan bekas lombong.  Selalunya geologi kawasan bekas lombong adalah jenis tanah berpasir dan mempunyai kekuatan ricih yang lemah. Berdasarkan kepada beberapa gambar cerun gagal yang dipaparkan dalam akhbar (lihat foto di bawah), menunjukkan cerun dibina dari bahan yang berpasir dan juga mungkin bahan tambakan (warna kemerahan dalam Foto 1) menjadi laluan air bawah tanah.



Foto 1 - Tafsiran awal bahan pembentuk cerun yang gagal terdiri dari tanah berpasir dan bahan tambakan (back fill)


Foto 2 - Bahan pembentuk cerun iaitu tanah berpasir jelas kelihatan dalam foto ini


(2) Kehadiran air dalam cerun 

Faktor kedua yang menyumbang kepada berlakunya tanah runtuh ini adalah disebabkan oleh adanya air.  Punca air ini boleh terdiri dari 3 punca iaitu air hujan yang lebat, air bawah tanah dan mungkin juga dari air paip yang dipasang di dalam cerun yang pecah.  Melihat kepada musim hujan yang berlaku sekarang ini dan penafian dari pihak bekalan air yang tiada paip yang pecah, maka punca air bawah tanah adalah merupakan faktor yang menyebabkan berlakunya tanah runtuh ini (perlu kajian lanjut untuk mengesahkan hipotesis awal ini).

Kehadiran air dalam cerun akan menyebabkan bahan geologi pembentuk cerun menjadi tepu dengan air yang menyebabkan boleh terjadinya fenomena yang disebut sebagai liquefaction dan seterusnya berlakunya tanah runtuh jenis aliran (earth flow) menuruni cerun.  Kehadiran air juga boleh melemahan kekuatan ricih bahan bumi pembentuk cerun kerana ianya akan meningkatkan pore water pressure (tekanan air liang) dan seterusnya boleh merenggangkan pegangan dan ikatan butiran-butiran tanah.  Regangan ini menyebabkan kekuatan ricih tanah menjadi lemah dan bahan boleh gagal.

Bahan yang tepu air juga lebih berat dan memberikan ketidakstabilan pada cerun.  Bahan yang tepu air dan berat senang tergelincir dalam bentuk earth flow (aliran tanah) jika kandungan air dalam bahan adalah lampau tinggi.


(3) Pembebanan pada bahagian atas cerun

Faktor lain yang boleh menjadi faktor pencetus (trigger factor) tanah runtuh ini adalah pembebanan pada bahagian atas cerun semasa tanah runtuh ini berlaku.  Difahamkan terdapat 10 biji kenderaan yang diletakkan di bahagian atas cerun sebelum cerun tersebut gagal.  Begitu juga dengan beberapa buah gerai/kedai yang ada di bahagian atas cerun tersebut.  Kesemua turut jatuh bersama-sama dengan tanah runtuh tersebut.  Kereta kereta ini diletakkan pada cerun semasa kejadian dan menyebabkan pembebanan pada cerun sebelum cerun tersebut gagal.

Selanjutnya, satu kajian terperinci perlu dilakukan dengan cepat sebelum tindakan pemulihan dilaksanakan, diantaranya :
(a) Sejarah tapak ini sebelum perumahan di bina perlu diselidik.
(b) Mengkaji jenis dan kekuatan bahan pembentuk cerun tersebut
(c) Mengkaji punca air samada daripada air hujan. air bawah tanah atau air dari paip pecah yang menjadi faktor pencetus kepada tanah runtuh ini.



Rajah 1 - Keratan akhbar dalam Utusan Malaysia (Ahad, 27 November 2016)


Rajah 2 - Keadaan cerun sebelum tanah runtuh berlaku



No comments: